hAr!ku hAt!ku h!dUpku...

Friday, April 1, 2011

pemuda yg ikhlas ...

('',)
Pada zaman dahulu, ada seorang jejaka yang sangat suka membaca dan selalu menghabiskan masanya di perpustakaan pada waktu lapang. Dia amat suka membaca novel dan buku cerita. Pada suatu hari, dia telah terjumpa sebuah novel yang ada tertulis pada kulit novel itu nama dan alamat seorang gadis di salah satu muka suratnya. Tertulis di situ : "Catrina, ikhlas dan perlukan sahabat."
Tergerak hati jejaka untuk mengutus surat kepada si gadis misteri itu. Setelah pulang ke rumah, jejaka itu menulis surat untuk memberitahu niat ingin berkawan dengan gadis itu. Beberapa hari kemudian si jejaka mendapat balasan daripada gadis tersebut bahawa dia juga bersetuju untuk berkawan dengan si jejaka.
Hari betukar minggu dan minggu bertukar bulan. Persahabatan mula bertukar kepada perasaan sayang. Namun begitu mereka masih belum pernah bersua muka. Si jejaka ingin sekali bertemu si gadis misteri dan begitu juga dengan si gadis. Walaupun kedua-keduanya masih belum melihat rupa masing-masing, tetapi perasaan sayang tetap berbuku di hati.
Pada suatu hari, si jejaka dipanggil oleh bala tentera untuk pergi ke medan perang. Si jejaka merasa amat susah hati kerana dia bimbang sekiranya dia mungkin tidak dapat berjumpa dengan si gadis kesayangannya. Maka diutuskannya sepucuk surat berbunyi, "kalau Allah panjangkan jodoh kita, dan andai kamu masih sayang padaku, kita berjumpalah di stesen keretapi pada hari perang diumumkan tamat nanti. Aku akan memakai pakaian tenteraku dan membawa sekuntum mawar berwarna merah. Aku akan mengenali kamu sekiranya kamu juga memegang sekuntum bunga mawar merah. Setelah itu izinkanlah aku membawamu untuk makan malam dan bertemu orang tuaku."
Maka pergi lah jejaka ke medan perang dengan tenang setelah mengutuskan surat itu...
Beberapa bulan kemudian...
Pada hari pengumuman perang tamat, si jejaka pergi ke stesen keretapi yang dijanjikan sambil memegang sekuntum bunga mawar merah di tangannya. Diperhatikannya seorang demi seorang gadis yang berada di stesen keretapi itu sekiranya ada yang turut memegang bunga mawar merah sepertinya.
Tiba-tiba, si jejaka ternampak seorang gadis yang agak berisi, sedikit hitam dan berjerawat mukanya duduk di kerusi roda sambil melihat sekeliling seolah-olah mencari seseorang. Kakinya kudung dan tangannya cacat sebelah. Sebelah lagi tangannya memegang sekuntum bunga mawar berwarna merah. Si jejaka sangat terkejut melihat keadaan fizikal dan wajah gadis pujaannya selama ini amat berbeza dari imaginasinya, namun dia memberanikan diri menghampiri gadis tersebut.
"Catrina?"
Gadis itu melihat ke arah si jejaka dan tersenyum ceria. Si jejaka terus menghulurkan bunga mawar kepada si gadis dan berkata, "aku amat merinduimu. Terimalah bunga ini dan pelawaanku untuk makan malam bersama kedua ibu bapaku. Orang tuaku tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu denganmu," kata jejaka itu.
Si gadis itu tersenyum lagi dan berkata, "Aku tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi ada seorang gadis cantik jelita memberikan bunga ini kepadaku sebentar tadi. Dia memintaku memberitahu kamu bahawa dia sedang menunggu kamu di restoran di hadapan stesen ini sekiranya kamu mempelawaku makan malam dan bertemu orang tuamu."
----------TAMAT------------
Berapa ramaikah manusia yang sesuci hati jejaka ini? Dia melihat kepada hati dan bukan kepada rupa. Dia telah mengotakan janjinya dan tetap berpegang kepada perasaan sayang walaupun pada mulanya dia menjangkakan gadis cacat itu adalah Catrina. Masihkah lagi wujud lelaki seikhlas dan seluhur hati pemuda itu?

maafkan..

('',)
Hidup terlalu singkat untuk membenci. Memaafkan pasangan hidup kita seperti memaafkan diri sendiri! Kesalahannya yang besar sekalipun wajar dimaafkan apatah lagi yang sengaja diperbesar-besarkan oleh kita sendiri.
Tirulah sifat Al A'ffu (Maha Pemberi Maaf)  Allah SWT... yang terus-terusan memaafkan kesalahan hamba-Nya selagi kitam sudi bertaubat. Hanya dosa syirik, selain itu... pengampunan Allah tidak bertepi dan "bertapi" lagi.
Jadi siapakah kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan suami atau isteri kita? Kita hanya manusia yang turut berdosa... Apakah kita terlalu suci untuk tidak memaafkan dosa orang lain? Sesungguhnya, manusia lain berhak mendapat kemaafan sesama manusia. Dan manusia yang paling berhak mendapatkan kemaafan itu tidak lain tidak bukan ialah isteri atau suami kita.
Kerana cinta Allah terus sudi memaafkan, dan kerana cinta jugalah kita seharusnya sudi memaafkan kesalahan pasangan kita hanya kerana mengharapkan kemaafan Allah. Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita, tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka!
Katakan kepada diri, betapa sukar sekalipun, kau wajib memaafkan. Memang kadangkala ada tingkah lakunya, tutur katanya atau sikapnya yang terlalu menyakitkan hati... Ditahan-tahan rasa, ditutup-tutup mata, dipujuk-pujuk jiwa, tetapi kesalahan itu terbayang dan terkenang jua. Hendak melupakan? Ah, jauh sekali. Sekadar memaafkan pun begitu berat terasa di hati.
Bila datang perasaan semacam itu di hati mu... sedarlah ketika itu Allah menguji cinta mu! Allah bukan sahaja menguji cinta mu kepadanya, tetapi menguji cinta mu kepada-NYA..
Pada ketika itu terujilah cinta kita, apakah benar-benar cinta kerana Allah atau cinta hanya mengikut perasaan atau cinta nafsu? Memang, orang yang paling dapat membuat diri mu marah ialah orang yang paling kau cintai. Jadi bila kita diuji begini katakan pada diri... Oh, Tuhan Kau sedang mengajarku erti cinta dan sabar.
Jika benar cintakan dia kerana cintakan DIA (Allah), maka mudahlah kita mengorbankan perasaan marah. Justeru sesungguhnya cinta itu sentiasa mengatasi dan mendahului rasa marah. Jika cinta kalah oleh marah, itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta! Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan diri kita sendiri.
Kemaafan itu akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk isteri atau suami mu tetapi buat hati mu sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang (lebih-lebih lagi kepada orang yang kita cintai) adalah lebih menyeksa diri sendiri berbanding dia yang kita marahkan.
Kemarahan seumpama 'bom jangka' yang menunggu saat untuk meledak di dalam diri kita.Ia boleh menjelma menjadi satu penyakit cinta yang sangat menyakitkan. Nama penyakit itu ialah "benci tapi rindu".
Sekali lagi, untuk mendapat ketenangan dalam hidup... berilah kemaafan. Kata ahli psikologi, bila kita memaafkan barulah kita 'bebas' dari belenggu individu, peristiwa dan keadaan yang kita marahkan itu.
Selagi belum memaafkan, selagi itulah apa yang kita marahkan sentiasa melekat pada diri dan hati kita.Kemarahan itu adalah "api" dalam hati kita. Ia panas dan membahang dalam diri. Manakala kemaafan umpama salju dingin yang akan memadamkannya.
Justeru, memaafkan pasangan adalah tradisi atau "life style" orang-orang yang soleh. Sayidina Umar memaafkan isteri yang meleterinya. Sayidina Ali pernah memaafkan Siti Fatimah yang pernah mengguris perasaannya. Kita tentu ingin meneladani mereka bukan? Bermulalah dengan sesuatu yang mudah, maafkan orang yang hampir dengan kita. Siapa lagi, kalau bukan isteri atau suami?
Islam menuntut kita memaafkan musuh kita sekalipun... Apatah lagi memaafkan isteri atau suami sendiri. Ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Bahagia itu bukan dengan mendapat, tetapi dengan memberi. Bukan hanya memberi keperluan fizikal dan material tetapi keperluan jiwa dan emosi, itulah kemaafan. Dan hakikatnya suami atau isteri kita lebih berhak untuk mendapat kemaafan itu sebelum kita memaafkan orang lain!
Anehnya kita sukar memaafkan orang yang masih hidup. Kita lebih mudah memaafkan orang yang telah mati. Sedangkan kemaafan itu penting untuk orang yang nasuh hidup, bukan untuk orang yang telah mati.
Bayangkan, isteri atau suami kita tiba-tiba sahaja meninggal dunia dan kita tidak sempat memaafkannya, tenangkah hati kita ketika ditinggalkan oleh sidia buat selama-lamanya? Sedangkan masih ada yang "tidak selesai" antara hati-hati kita berdua?
Atau kita sendiri yang tiba-tiba meninggal dunia, bolehkah kita kembali dengan tenang sebelum memberi kemaafan kepada orang lain? Jangan bertangguh lagi, maafkanlah, kerana tanpa kemaafan itu kita akan diburu rasa bersalah sepanjang hayat sekiranya salah seorang kita pergi menghadap Ilahi dahulu.
Percayalah! Saya pernah mendengar cerita betapa ada seorang suami yang kematian isteri, yang hingga kini masih terseksa jiwanya akibat tidak memaafkan isterinya yang tiba-tiba mati dalam satu kemalangan yang tidak disangka-sangkanya. Mintalah kemaafan, dan berilah kemaafan, jika benar kita sedari mati itu datang tiba-tiba!
Telah berapa kali saya ulangi bahawa jika kita tidak maafkan orang lain, samalah dengan  tidak memaafkan diri sendiri. Hati kita akan lebih menderita kerana itu. Telah terbukti ramai penghuni rumah sakit jiwa adalah terdiri daripada mereka yang bakhil... Bakhil kerana harta? Bukan! Tetapi terlalu bakhil untuk memberi satu kemaafan. Jangan lokek untuk memberi maaf, jika tidak, hidup kita akan sentiasa diselubungi stres, murung dan resah walaupun mungkin tidak sampai dihantar ke rumah sakit jiwa.
Kekusutan fikiran bukan disebabkan oleh sakit urat saraf tetapi kerana emosi kehampaan, kekecewaan, kekhuatiran, kerisauan dan ketakutan akibat benci dan marahkan sesuatu, seseorang atau keadaan. Penyakit ini tidak dapat diubati oleh sebarang pil, antibodi ataupun vaksin... tetapi hanya oleh tindakan memaafkan orang lain. Memberi maaf itu adalah terapi dan penawar jiwa yang lara.
Seorang ahli falsafah, Plato pernah berkata,"kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan." Insya-Allah, sekiranya penyakit jiwa dan fikiran diubati terlebih dahulu maka penyakit lahiriah akan dapat diubati dengan mudah. Siapa doktornya? Bukankah diri kita sendiri? Apakah ubatnya? Ya, sikap pemaaf.
Justeru antara adab tidur yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan oleh kita ialah memaafkan kesalahan orang lain. Setelah membaca "4 Qul", doa tidur dan zikir-zikir yang lain, kita diminta memaafkan semua kesalahan orang lain pada hari itu. Dan "orang lain" yang paling dekat dan hampir dengan kita ialah teman tidur di sebelah... siapa lagi kalau bukan isteri atau suami kita.
Maafkanlah kesalahan pasangan kita sebelum episod hari itu berakhir. Jangan simpan dalam "fail" di hati sanubari kita. "Delete" segera sebelum ia bertukar menjadi virus yang akan merosakkan rasa cinta, sayang, kemesraan dan kerinduan antara kita suami isteri. Jangan lagi fikirkan "sepatutnya, dia tidak boleh buat begitu atau begini..." Selagi masih ada fikiran yang semacam itu, maka selagi itulah tidak akan ada rasa ingin memaafkan atau meminta maaf.
Siapa kita yang sepatutnya dilayan, dihormati dan dibelai mengikut jangkaan kita sendiri? Sebenarnya, jangkaan kita dalam satu-satu itulah yang menyebabkan berlakunya keretakan.
"Isteri ku sepatutnya bersikap begini terhadap ku. "
"Suami ku tidak sepatutnya bersikap begitu dengan ku."
Jangkaan-jangkaan inilah yang menimbulkan kekecewaan apabila ia tidak berlaku seperti yang kita jangkakan. Dan anehnya itulah yang sentiasa berlaku. Kenapa? Jawabnya mudah, dunia dan kehidupan tidak seperti yang kita jangkakan. Oleh itu  jangan menempah sakit jiwa dengan sering menjangkakan sesuatu yang tidak mampu  dan tidak sepatutnya dijangka. Sebaliknya, terima atau jangkalah sesuatu yang tidak dijangkakan!
Justeru, bila berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan bersumber dari pasangan kita, maka sikap memaafkan adalah penawar yang paling melegakan. Oh, sepatutnya begitu, tetapi dia begini, tak apalah... aku maafkan. Aku akan terus mengingatkannya, mendidiknya dan mendoakannya. Semua itu kerana aku masih dan terus cintakannya. Bila ada maaf, itu petanda ada cinta. Tiada ungkapan, "tiada maaf bagi mu" selagi ada rasa cinta.
Kekadang ada yang terlalu sukar memaafkan pasangannya. Mereka ini sentiasa kesal, menyesal dan kecewa atas kesalahan, kekurangan dan kelemahan suami atau isterinya. Mereka yang diserang penyakit "benci tapi rindu" ini akan menyeksa diri sendiri. Kekadang isteri dimarahi, diherdik dan dicaci pada siang hari, namun pada malamnya dia akan tidur bersamanya lagi. Rasulullah SAW sangat membenci sikap suami yang begitu.
Mereka yang sukar memaafkan pasangan hidup akan terseksa sepanjang hidup. Hidup dalam kebencian, kesepian, kemurungan dan rasa bosan yang berpanjangan. Bila dekat timbul jemu, bila jauh timbul rindu.
Jadi maafkanlah selagi dia menjadi teman hidup mu. Petanda cinta mu akan ke syurga ialah rumah tangga mu di dunia menjadi tenang, damai dan harmoni. Apalagi yang boleh menyumbangkan ke arah itu kalau bukan kemaafan?
Kata ahli psikologi, "Tuhan boleh mengampunkan segala dosa kita, tetapi sistem saraf kita tidak." Maksudnya, sistem saraf tidak akan bertolak ansur dengan ketegangan dan kerisauan. Dan jauh lebih lama sebelum itu Rasulullah SAW telah mengingatkan, matilah kamu dengan marah mu!
Saudara/i ku, aku yang menulis ini pun masih bermujahadah untuk memaafkan.

dengar la hati isterimu..

('',)kopi kopiko~

Kita biasanya balik ke rumah selepas kesibukan kerja di pejabat dengan niat untuk berehat melepaskan penat jerih. Ada juga dikalangan kita yang berniat balik ke rumah sekejap untuk mengambil pakaian sukan dan kemudian terus ke gelanggang permainan bersama-sama dengan rakan-rakan sepejabat atau sepersatuan.

Tidak kurang pula yang sampai di rumah terus mengerjakan solat 'Asar dan kemudian ke halaman rumah meneruskan kerja-kerja menanam pokok bunga kesayangan kita itu.

Apabila sampai ke rumah, hanya anak-anak kita sahaja yang menyambut di pintu. Isteri kita yang "full time house wife" tu ,meneruskan pekerjaan biasanya seperti melipat kain, gosok baju atau menyapu halaman rumah petang-petang.
Kita pun mencium anak-anak dan terus ke bilik tidur dan membuat kerja-kerja seperti di atas tadi. Tidak ada senerio drama tv seperti isteri menyambut dan menyediakan minuman untuk suaminya, sambil suaminya pula merebahkan badannya di sofa empuk "italian set" nya itu.
Bagi isteri yang balik bersama-sama kita satu kereta pula, sepanjang perjalanan dia lelapkan matanya menghala keluar hinggalah sampai ke rumah. Tiba di rumah, masing-masing dengan urusan sendirian, sibuk macam di pejabat tadi. Alangkah ruginya kita menpunyai pasangan yang halal tetapi hubungan kita seperti "bukan muhrim".
Sudahlah kita berpisah lebih lapan jam sehari dengannya kerana bertugas di pejabat, ditambah pula dengan hubungan yang hambar apabila bersama di rumah. Dengan ini, ramailah dikalangan kita yang tidak dapat menikmati cogan kata yang popular masa kini, "Rumahku Syurgaku".
Mengapa boleh terjadi demikian? Mari kita analisis sketsa di atas. Semasa baru-baru kahwin, biasanya isteri kita tu lah yang menyambut kita di pintu dengan senyum manisnya dan memimpin kita ke kerusi atau ke dalam bilik tidur. Dan di situ jugalah dia akan bercerita mengadu hal peristewa-peristewa yang berlaku sepanjang ketiadaan kita di rumah.
Macam-macamlah tajuknya hingga kadang-kadang naik meluat mendengarnya. Tetapi, kita pada masa itu memang pendengar yang amat baik sekali dan bersungguh-sungguh melayan cerita dan emosinya. Baru kahwinlah katakan. Tetapi sekarang semuanya itu hanya tinggal kenangan.
Wahai suami-suami yang dimuliakan,
Memang kita lebih sibuk dari dia. Memang kita lebih banyak memikirkan masalah masyarakat dan negara. Memang minat kita berbeza. Memang kita malas mendengar cakap dia.Tetapi, pernah tak kita fikirkan hasilnya jika kita mendengar sekejap ceritanya bila sampai di rumah setiap petang.
Jika kita boleh meneruskan tabiat seperti baru-baru kahwin dulu tu, menjadi pendengar yang baik, meluangkan masa dalam lima minit mendengar ceritanya sebaik sahaja kita tiba di rumah. Mengangguk-anggukkan kepala dan bersetuju dengan pandangan-pandangannya. Menegur ceritanya apabila dia mula nak mengumpat dengan cara yang baik. Yakinlah, hasilnya nanti, dia akan rasa terhibur dan merasakan dialah orang yang paling gembira sekali pada hari itu.
Cintanya rasa berbalas apabila aduannya itu dilayan dengan belaian kasih mesra. Kusut masai semasa dia memerahkan otaknya membersih, mengindahkan rumah kita dan memasak masakan kegemaran kita, akan terurai kerana kesanggupan kita mendengarnya sembangnya itu.
Tak lama wahai suami-suami, hanya lima minit sahaja yang perlu kita luangkan untuknya, tetapi kesan boleh menceriakannya selama 24 jam untuk hari yang berikutnya.
Niatkan di hati kita untuk mendengar ceritanya sama ada dirumah atau di dalam kereta sebaik sahaja kita melangkah keluar dari pejabat. Jangan amalkan singgah dulu di cafetaria untuk minum petang dengan rakan-rakan sepejabat, ini akan menyebabkan kita merasakan isteri tidak perlu lagi melayan kita di rumah nanti.
Sebab kita sudah kenyang. Sampai di rumah mulakan dengan soalan, "Ada berita baik hari ini ke?" atau yang serupa dengannya. Yakinlah, sebulan kita amalkan, pasti isteri kita akan bersama-sama dengan anak-anak kita menyambut di muka pintu dengan senyuman meleret hingga ke telinganya. Kita juga yang akan terhibur.

bahagia itu apabila membahagiakan

('',) kopi kopiko~

Kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Pegang kata-kata itu. Impilikasinya, untuk kita bahagia, carilah orang yang paling hampir dengan kita dan bahagiaakanlah mereka. Hanya setelah itu, barulah kita akan merasa bahagia. Sesungguhnya bahagia itu bukan "benda" yang akan berkurang bila diberikan, tetapi ia umpama cahaya yang semakin "diberikan" akan bertambah terangnya. Kata bijak pandai, dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam... tetapi kita akan mendapat lebih banyak cahaya.
Siapakah orang yang paling hampir? Siapakah yang paling layak kita berikan bahagia? Selain kedua ibu-bapa (bagi seorang lelaki), maka isterinyalah yang paling utama diberikan kebahagiaan itu. Jika isteri yang di sisi tidak bahagia, jangan harap kita boleh membahagiakan orang lain. Dan paling penting, jika isteri sudah menderita itu juga petanda yang kita juga menderita – ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia.
Apakah langkah pertama untuk membahagiakan isteri? Ya, pertama, hargailah kehadirannya. Rasakan benar-benar bahawa sidia adalah anugerah Allah yang paling berharga. Jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan, justeru dia adalah anugerah khusus daripada-Nya buat teman hidup kita sepanjang kembara di dunia. Isteri kita ialah jawapan Tuhan pada doa yang selalu kita pohonkan.
Ingatlah bahawa yang paling berharga di dalam rumah kita bukannya perabot, bukan peralatan eletronik, komputer ataupun barang-barang antik yang lain. Yang paling berharga ialah manusianya – isteri atau suami kita itu. Itulah" modal insan" yang sewajarnya lebih kita hargai daripada segala-galanya. Tetapi benarkah kita telah menghargai isteri atau suami lebih daripada barang-barang berharga di rumah kita?
Sayang sekali, lain yang difikirkan lain pula yang dirasa. Cuba renanungkan, berapa ramai para suami yang lebih prihatin tentang perasaan isteri berbanding 'keadaan' keretanya. Batuk isteri yang berpanjangan semacam tidak kedengaran. "Batuk" kereta yang sedikit cepat-cepat dihantar ke "workshop" untuk diselenggarakan.
Itu belum dikira lagi kaki pancing yang setiap hujung minggu berkepit dengan joran dan umpan tetapi membiarkan anak-anak dan isteri kesepian di rumah. Atau para isteri yang leka dengan aorkid dan barang antik, dibelek dan dikelek siang malam, sedangkan suami terbiar tanpa ditanya perasaan dan didengar luahan hatinya.
Bila kereta 'aneh' sedikit bunyinya, cepat-cepat diusung ke workshop, dibetulkan enjin, ditunekan semula bunyinya. Tetapi isteri yang batuk-batuk, lenguh dan sembab dibiarkan... alasannya, itu memang adat, badan dah tua. Itu belum dikira yang 'workoholic' – bekerja siang, malam, tak kenal cuti dan rehat... Bila ditanya mengapa begitu sibok? Dia menjawab, demi isteri. Padahal, dia bekerja sampai ke tahap mengabaikan isteri. Aneh juga, ada yang mencari duit sampai tidak sempat menikmati duit. Bila duit sudah terkumpul, kesihatan sudah tergadai, rumah tangga sudah berkecai, isteri telah terabai.
Sesetengah bertanya? Bagaimana kita boleh mengharagai pasangan kita. Insya-Allah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kata orang, kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir. Mulakan dengan memandangnya dengan pandangan kasih... mungkin wajah isteri kita sudah kedut, tetapi rasakanlah mungkin separuh "kedutan" itu kerana memikirkan kesusahan bersama kita. Mungkin uban telah penuh di kepala suami kita, tetapi uban itu "mercu tanda" pengorbanannya membina rumah tangga dan keluarga kita.
Itulah pandangan mata hati namanya. Kalau dulu semasa awal bercinta, pandangan kita dari mata turun ke hati. Tetapi kini setelah lama bersama, pandangan kita mesti lebih murni. Tidak dari mata turun ke hati lagi, tetapi sudah dari hati "turun" ke mata. Yang kita lihat bukan "body" tetapi budi. Yang kita pandang bukan urat, tulang dan daging lagi... tetapi suatu yang murni dan hakiki – kasih, kasihan, cinta, sayang, mesra, ceria, duka, gagal, jaya, pengorbanan, penderitaan – dalam jiwanya yang melakarkan sejarah kehidupan berumah tangga bersama kita!
Daripada pandangan mata hati itulah lahirlah sikap dan tindakan. Love is verb – cinta itu tindakan. Kata penyair bila sudah cinta, ingin dipintal awan-gemawan untuk dijadikan kerosang di dada isteri, ingin dijadikan rembulan untuk menjadi lentera teman beradunya, mentari sebagai sinar dalam duka dan nestanya... Ah, kita tidak payah mengajar cara apabila sudah cinta. Kerana dalam cinta itu sudah menyala kemahuan.
Mungkin sikaya pulang bersama cincin permata untuk menghargai siisteri. Atau petani hanya membawa sebiji mangga untuk dimakan bersama sang "permaisuri". Buruh yang pulang bersama keringat disambut senyuman dan dihadiahkan seteguk air sejuk oleh isteri tentunya lebih bahagia dan dihargai oleh seorang jutawan yang disambut di muka pintu villanya tetapi hanya oleh seorang "orang gaji". Begitulah ajaibnya cinta yang dicipta Allah, ia hanya boleh dinikmati oleh hati yang suci. Ia terlalu mahal harganya. Intan, permata tidak akan mampu membeli cinta!
Hargailah sesuatu selagi ia masih di depan mata. Begitu selalu pesan cerdikiawan dan pujangga. Malangnya, kita selalu lepas pandang. Sesuatu yang 'terlalu' dekat, kekadang lebih sukar dilihat dengan jelas. Isteri di depan mata, tidak dihargai. Kajian menunjukkan bahawa para suami di Amerika lebih banyak meluangkan masa menonton TV daripada bercakap dengan isteri. Di sini apa kurangnya, tiga jam menonton TV bersama tanpa sepatahpun berbual. Suami dan isteri sibok melayani fikiran sendiri walaupun duduk hanya berselang beberapa inci.
Malah, bila berjauhan pun kekadang terlalu lokek bertanyakan berita. Jika duduk berjauhan, masa berSMS dengan teman lebih banyak berbanding dengan isteri. No news is a good news. Begitu selalunya, rasa di hati. Tetapi bila isteri atau suami diserang "sakit" – katalah hilang keupayaan bercakap dan bergerak, maka ketika itu puaslah kita menangis kerana tidak dapat mendengar suaranya lagi. Waktu itu barulah duduk di tepi katil hospital, merenung mata isteri atau suami kita yang berkelip-kelip, tanpa kata, tanpa suara...
Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Yang pergi tak kan kembali. Yang hilang, mungkin tumbuh lagi... Tetapi tidak semua perkara akan tumbuh semula. Apakah ibu-bapa yang 'hilang' akan berganti? Apakah anak, isteri, suami yang 'pergi'... akan pulang semula? Jadi, hargailah semuanya selama segalanya masih ada. Pulanglah ke rumah dengan ceria, tebarkan salam, lebarkan senyuman. Mungkin esok, anda tidak 'pulang' atau tidak ada lagi sidia yang setia menunggu di sebalik pintu. Mungkin anda 'pergi' atau dia yang 'pergi'. Hargailah nyawa dan kehidupan dengan sayang dan cinta. Kita tidak akan bahagia, selagi orang di sisi kita tidak bahagia!