hAr!ku hAt!ku h!dUpku...

Saturday, June 25, 2011

kenapa bahasa arab??

(^_^)V...
0
alt

Jika dahulu pada saat mengisi borang UPU untuk kemasukan ke universiti, andai ditanya "mengapa saya memilih Bahasa Arab?". Saya mungkin hanya menjawab,
"sebab saya minat Bahasa Arab, tak minat Medic, Farmasi, Pergigian dan lain-lain".

Walaupun sebenarnya saya tidak geli dengan darah, tidak takut melihat kepala yang bercerai dari badan. Malah, saya menjadi semakin teruja apabila berlaku kejadian sedemikian di depan mata. Ini kerana, perasaan ingin tahu yang menebal dalam diri saya. Saya sendiri merasa pelik.
Pernah saya suarakan, saya dilema antara jurusan Bahasa Arab, Ilmu Wahyu, Sains Kemanusiaan dan Architecture di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Andai saat itu juga ditanya mengapa pilihan saya adalah Bahasa Arab, saya tahu saya tidak tahu apakah sebab sebenarnya. Mungkin hanya kerana minat.
Tetapi, kini saya tahu...
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya. ( Az-Zukhruf 43:3 )
Terkadang terasa susah belajar bahasa syurga ini. Di UIA, penuntut dalam bidang Bahasa Arab adalah minoriti. Saya juga tidak tahu kenapa. Biarlah, masing-masing punya minat sendiri.
Terkadang saya fikir Ilmu Wahyu menarik, belajar tentang mazhab dan usul Fiqh serta perkara lain yang berkaitan. Terkadang, saya teringin sangat mempelajari Sains Kemanusiaan. Turut berkongsi kegembiraan melihat roommate membaca Sociology dan Pshycology. Terkadang, saya tertarik dengan lukisan dan hasil seni penuntut bidang Architecture. Bidang ini juga merupakan minat saya. Saya amat meminati seni.
Saya berfikir lagi...Kenapa dahulu aku memilih untuk meletakkan bidang Bahasa Arab ini pada pilihan pertama? Bukankah bidang lain pun menarik? Mungkin juga berkaitan minat saya dalam seni khat. Jika dikatakan kerana minat, bukankah meminati bidang yang lain juga.
Sesungguhnya, inilah takdir. Allah ingin saya lebih dekat dengan-Nya. Dengan ilmu dalam bidang Bahasa Arab.
Ibu suka berkongsi cerita dengan saya. Ibu merupakan seorang guru sekolah rendah. Ibu suka berkongsi cerita terutamanya kisah di sekolah. Tentang murid-murid yang nakal dan mencuit hati. Juga tentang murid-murid yang sedikit sukar mendengar kata. Dan juga pelbagai kisah lain. Ibu bercerita untuk saya merenung kembali. Untuk saya muhasabah diri saya. Untuk saya mengambil pelajaran.
Satu kisah yang amat meninggalkan kesan dalam diri saya, sebagai pelajar jurusan Bahasa Arab, pelajar jurusan agama.
Ini satu kisah seorang guru yang berpangkat Ustaz. Seorang graduan lepasan Mesir. Seorang imam di kampungnya. Dia dikehendaki untuk mengajar murid pada sesi petang. Permintaan beliau untuk mengajar pada sesi pagi tidak diterima. Ustaz ini bertindak untuk tidak hadir mengajar di dalam kelas sebagai tanda protes. Ilmu yang dipelajari tidak digunakan untuk membentuk peribadi. Amanah tidak ditunaikan dengan sebaiknya. Kini, Ustaz tersebut telah berpindah ke sekolah lain.
Kisah yang amat menginsafkan saya. Sebenarnya dugaan orang yang belajar terutama dalam bidang agama lebih berat. Adatnya mereka lebih dekat dengan ayat-ayat Allah yang ditatap setiap hari. Dengan hadis-hadis Nabi yang dipelajari dan dihafaz. Namun, bidang pengajian bukanlah pembeza ketaqwaan.
Saya pinta...Andai satu saat diri saya yang bakal bergelar graduan dalam bidang Bahasa Arab ini tersalah memilih jalan, nasihatilah saya. Andai benar sebuah tamparan perlu untuk menyedarkan saya, tamparlah saya. Saya benar-benar maksudkan ini.
Aku seorang hamba,
Yang benar-benar terasa kehambaannya saat sujud menyembah,
Yang menangis saat menghayati kalamullah,
Yang merindukan pertemuan ketika yang lain sedang lena dibuai mimpi,
Yang terasa kehilangan apabila tiada Al-Quran di sisi,
Yang nikmat dalam zikir kepada-Nya,
Yang ikhlas melakukan segala suruhan Allah,
Yang reda dengan segala ketetapan-Nya kerana keyakinan yang kuat kepada-Nya,
Yang asyik bercinta dengan-Nya bukan mengharap cinta insani yang tiada abadi,
Yang merasakan hanya Allah di dalam hatinya,
Hasbi Rabbi jalla-Allah,
Maa fi qalbi ghairullah,
Hanya Allah! Hanya Allah! Hanya Allah!
Aku ingin mengejar cinta teragung itu,
Bukan sekadar cinta yang sungguh mudah terlafaz di bibir sahaja.
Oleh itu, tidak kira anda pelajar dalam apa-apa bidang, bersungguh-sungguhlah dalam mencari ilmu. Jangan berputus asa. Kerana ilmu yang bermanfaat itu bukanlah ilmu agama sahaja tetapi segala ilmu yang mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T juga ilmu yang membentuk peribadi mulia dalam diri. Walau dalam bidang apa sekalipun, peganglah prinsip belajar kerana Allah. Itu kekuatan selamanya.
Jika anda bakal seorang ustaz atau ustazah kerana bidang anda, jadilah pendakwah yang berakhlak mulia beramal dengan apa yang dipelajari.
Jika anda bakal seorang doktor, jadilah doktor yang mengingatkan pesakit tentang solat dan nikmat kesihatan.
Jika anda bakal seorang arkitek, rekalah bangunan bercirikan Islamik kerana seorang arkitek yang beriman akan berfikir apakah tandas di dalam bangunan yang direkanya menghadap kiblat?
Jika anda bakal seorang jurutera, jadilah jurutera yang terus menunaikan solatnya walaupun sibuk di tapak projek dan sekalipun solat di celah-celah bangunan yang meninggi.
Jika anda bakal seorang juruterbang, sedarkanlah penumpang dengan menghayati awan biru dan gugusan bintang ciptaan Allah S.W.T.
Jika anda bakal seorang kaunselor, jadilah kaunselor yang berhikmah dalam memberi nasihat dan bicara yang mengingatkan kepada kekuasaan Allah S.W.T.
Jika anda bakal seorang pakar Bahasa Inggeris, gunakan kelebihan anda terutama kepada yang bukan Melayu berakidah tauhid yang berminat dengan Islam untuk mengenal Allah S.W.T.
Sesungguhnya, dalam bidang apa pun kita berada, kita hanyalah hamba Allah S.W.T, dan ilmu itu benar-benar berharga jika dengannya membuatkan kita merasa diri lebih menjadi 'seorang hamba'.

bila lelaki kehilangan tulang rusuk

(^_^)V...
WANITA: Siapa yang paling kamu cintai di dunia ini?
LELAKI: Kamu!!!
WANITA: Menurut kamu, saya ini siapa?
LELAKI: (Berfikir sejenak, lalu menatap WANITA dengan pasti) Kamu, tulang rusukku.
Kerana Allah melihat bahawa Adam kesepian. Saat Adam sedang lena tidur, Allah mengambil rusuk Adam dan menciptakan Hawa. Semua LELAKI mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, tidak lagi merasakan sakit di hatinya...
Setelah berkahwin, pasangan itu mengalami masa yang indah dan manis untuk sementara. Setelah itu, pasangan muda ini mulai tenggelam dalam kesibukan masing-masing dan kelelahan hidup yang ada. Hidup mereka menjadi membosankan.
Kenyataan hidup yang kejam membuat mereka mulai menyisihkan impian dan cinta satu sama lain. Mereka mulai bertengkar dan pertengkaran itu mulai menjadi semakin panas. Pada suatu hari pada akhir sebuah pertengkaran WANITA lari keluar rumah. Saat tiba di seberang jalan, dia berteriak "Kamu tidak cintakan saya lagi!!!".
LELAKI sangat membenci ketidakdewasaan WANITA dan secara spontan juga berteriak "Saya menyesali perkahwinan ini! Kamu ternyata bukan tulang rusukku!!!"
Tiba-tiba WANITA terdiam, dan berdiri kaku untuk beberapa saat.
LELAKI menyesali akan apa yang sudah dia lafazkan, tetapi seperti air yang telah tertumpah tidak mungkin untuk diceduk kembali. Dengan berlinang air mata, WANITA kembali ke rumah dan mengambil barang-barangnya, bertekad untuk berpisah. "Kalau saya bukan tulang rusukmu, biarkan saya pergi. Biarkan kita berpisah dan mencari pasangan sejati masing-masing".
Lima tahun berlalu. LELAKI masih belum lagi berkahwin, tetapi berusaha mencari khabar akan kehidupan WANITA. WANITA pernah ke luar negeri tetapi sudah kembali. Dia pernah berkahwin dengan seorang asing dan bercerai.
LELAKI agak kecewa bila mengetahui WANITA tidak menunggu, sepertinya.
Dan di tengah malam yang sunyi, dia meminum kopinya dan merasakan sakit di
hatinya. Tetapi LELAKI tidak sanggup mengakui bahawa dia merindukan WANITA.
Suatu hari, mereka akhirnya bertemu kembali. Di airport, tempat di mana banyak terjadi pertemuan dan perpisahan, mereka dipisahkan hanya oleh sebuah dinding pembatas.
LELAKI: Apa khabar?
WANITA: Baik... Kamu sudah menemui tulang rusukmu yang hilang?
LELAKI: Belum.
WANITA: Saya akan terbang ke New York dengan penerbangan berikut. Saya akan kembali 2 minggu lagi. Telefon saya kalau kamu berkesempatan. Kamu tahu nombor telepon saya kan ? Tidak ada yang berubah.
WANITA tersenyum manis, berlalu di hujung lafaz "Selamat tinggal.."
Satu minggu kemudian, LELAKI menerima khabar WANITA adalah salah seorang korban Menara WTC. Malam itu, sekali lagi, LELAKI meneguk kopinya dan kembali merasakan sakit dihatinya. Akhirnya dia sedar bahwa sakit itu adalah kerana WANITA, tulang rusuknya sendiri yang telah dengan bodohnya dia patahkan.
Kita menempiaskan 99% kemarahan walau kepada orang yang paling kita cintai. Dan akibatnya adalah penyesalan. Seringkali penyesalan itu datang dikemudiannya, akibatnya setelah kita menyedari kesalahan kita, semua sudah terlambat...
Kerana itu, jagalah dan sayangilah orang yang dicintai dengan sepenuh hati... Sebelum mengucapkan sesuatu berfikirlah dahulu, apakah kata-kata yang kau ucapkan akan menyakiti orang yang dicintai? Kira merasakan akan menyakitinya, sebaiknya jangan pernah dilafazkan. Kerana semakin besar risiko untuk kehilangan orang yang dicintai.
Jadi berfikirlah, apakah kata-kata yang akan dilafazkan sebanding dengan akibat yang akan diterima??

teguran itu penting..

(^_^)V...
"Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain."
Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah.
Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.
Membina dan Meroboh
Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.
Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang memerlukan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.
Lain pula sekiranya seseorang yang tidak memerlukan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.
Orang yang Menegur
Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya.
Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.
Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.
Orang yang Ditegur
Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.
Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".
Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?
Ingat..
Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.
Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.