hAr!ku hAt!ku h!dUpku...

Saturday, June 25, 2011

kenapa bahasa arab??

(^_^)V...
0
alt

Jika dahulu pada saat mengisi borang UPU untuk kemasukan ke universiti, andai ditanya "mengapa saya memilih Bahasa Arab?". Saya mungkin hanya menjawab,
"sebab saya minat Bahasa Arab, tak minat Medic, Farmasi, Pergigian dan lain-lain".

Walaupun sebenarnya saya tidak geli dengan darah, tidak takut melihat kepala yang bercerai dari badan. Malah, saya menjadi semakin teruja apabila berlaku kejadian sedemikian di depan mata. Ini kerana, perasaan ingin tahu yang menebal dalam diri saya. Saya sendiri merasa pelik.
Pernah saya suarakan, saya dilema antara jurusan Bahasa Arab, Ilmu Wahyu, Sains Kemanusiaan dan Architecture di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Andai saat itu juga ditanya mengapa pilihan saya adalah Bahasa Arab, saya tahu saya tidak tahu apakah sebab sebenarnya. Mungkin hanya kerana minat.
Tetapi, kini saya tahu...
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya. ( Az-Zukhruf 43:3 )
Terkadang terasa susah belajar bahasa syurga ini. Di UIA, penuntut dalam bidang Bahasa Arab adalah minoriti. Saya juga tidak tahu kenapa. Biarlah, masing-masing punya minat sendiri.
Terkadang saya fikir Ilmu Wahyu menarik, belajar tentang mazhab dan usul Fiqh serta perkara lain yang berkaitan. Terkadang, saya teringin sangat mempelajari Sains Kemanusiaan. Turut berkongsi kegembiraan melihat roommate membaca Sociology dan Pshycology. Terkadang, saya tertarik dengan lukisan dan hasil seni penuntut bidang Architecture. Bidang ini juga merupakan minat saya. Saya amat meminati seni.
Saya berfikir lagi...Kenapa dahulu aku memilih untuk meletakkan bidang Bahasa Arab ini pada pilihan pertama? Bukankah bidang lain pun menarik? Mungkin juga berkaitan minat saya dalam seni khat. Jika dikatakan kerana minat, bukankah meminati bidang yang lain juga.
Sesungguhnya, inilah takdir. Allah ingin saya lebih dekat dengan-Nya. Dengan ilmu dalam bidang Bahasa Arab.
Ibu suka berkongsi cerita dengan saya. Ibu merupakan seorang guru sekolah rendah. Ibu suka berkongsi cerita terutamanya kisah di sekolah. Tentang murid-murid yang nakal dan mencuit hati. Juga tentang murid-murid yang sedikit sukar mendengar kata. Dan juga pelbagai kisah lain. Ibu bercerita untuk saya merenung kembali. Untuk saya muhasabah diri saya. Untuk saya mengambil pelajaran.
Satu kisah yang amat meninggalkan kesan dalam diri saya, sebagai pelajar jurusan Bahasa Arab, pelajar jurusan agama.
Ini satu kisah seorang guru yang berpangkat Ustaz. Seorang graduan lepasan Mesir. Seorang imam di kampungnya. Dia dikehendaki untuk mengajar murid pada sesi petang. Permintaan beliau untuk mengajar pada sesi pagi tidak diterima. Ustaz ini bertindak untuk tidak hadir mengajar di dalam kelas sebagai tanda protes. Ilmu yang dipelajari tidak digunakan untuk membentuk peribadi. Amanah tidak ditunaikan dengan sebaiknya. Kini, Ustaz tersebut telah berpindah ke sekolah lain.
Kisah yang amat menginsafkan saya. Sebenarnya dugaan orang yang belajar terutama dalam bidang agama lebih berat. Adatnya mereka lebih dekat dengan ayat-ayat Allah yang ditatap setiap hari. Dengan hadis-hadis Nabi yang dipelajari dan dihafaz. Namun, bidang pengajian bukanlah pembeza ketaqwaan.
Saya pinta...Andai satu saat diri saya yang bakal bergelar graduan dalam bidang Bahasa Arab ini tersalah memilih jalan, nasihatilah saya. Andai benar sebuah tamparan perlu untuk menyedarkan saya, tamparlah saya. Saya benar-benar maksudkan ini.
Aku seorang hamba,
Yang benar-benar terasa kehambaannya saat sujud menyembah,
Yang menangis saat menghayati kalamullah,
Yang merindukan pertemuan ketika yang lain sedang lena dibuai mimpi,
Yang terasa kehilangan apabila tiada Al-Quran di sisi,
Yang nikmat dalam zikir kepada-Nya,
Yang ikhlas melakukan segala suruhan Allah,
Yang reda dengan segala ketetapan-Nya kerana keyakinan yang kuat kepada-Nya,
Yang asyik bercinta dengan-Nya bukan mengharap cinta insani yang tiada abadi,
Yang merasakan hanya Allah di dalam hatinya,
Hasbi Rabbi jalla-Allah,
Maa fi qalbi ghairullah,
Hanya Allah! Hanya Allah! Hanya Allah!
Aku ingin mengejar cinta teragung itu,
Bukan sekadar cinta yang sungguh mudah terlafaz di bibir sahaja.
Oleh itu, tidak kira anda pelajar dalam apa-apa bidang, bersungguh-sungguhlah dalam mencari ilmu. Jangan berputus asa. Kerana ilmu yang bermanfaat itu bukanlah ilmu agama sahaja tetapi segala ilmu yang mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T juga ilmu yang membentuk peribadi mulia dalam diri. Walau dalam bidang apa sekalipun, peganglah prinsip belajar kerana Allah. Itu kekuatan selamanya.
Jika anda bakal seorang ustaz atau ustazah kerana bidang anda, jadilah pendakwah yang berakhlak mulia beramal dengan apa yang dipelajari.
Jika anda bakal seorang doktor, jadilah doktor yang mengingatkan pesakit tentang solat dan nikmat kesihatan.
Jika anda bakal seorang arkitek, rekalah bangunan bercirikan Islamik kerana seorang arkitek yang beriman akan berfikir apakah tandas di dalam bangunan yang direkanya menghadap kiblat?
Jika anda bakal seorang jurutera, jadilah jurutera yang terus menunaikan solatnya walaupun sibuk di tapak projek dan sekalipun solat di celah-celah bangunan yang meninggi.
Jika anda bakal seorang juruterbang, sedarkanlah penumpang dengan menghayati awan biru dan gugusan bintang ciptaan Allah S.W.T.
Jika anda bakal seorang kaunselor, jadilah kaunselor yang berhikmah dalam memberi nasihat dan bicara yang mengingatkan kepada kekuasaan Allah S.W.T.
Jika anda bakal seorang pakar Bahasa Inggeris, gunakan kelebihan anda terutama kepada yang bukan Melayu berakidah tauhid yang berminat dengan Islam untuk mengenal Allah S.W.T.
Sesungguhnya, dalam bidang apa pun kita berada, kita hanyalah hamba Allah S.W.T, dan ilmu itu benar-benar berharga jika dengannya membuatkan kita merasa diri lebih menjadi 'seorang hamba'.

No comments:

Post a Comment